Homestay Shah Alam, Seksyen 7

02/07/2013

Read the rest of this entry »

Advertisements

Bicara Agama

24/09/2006

Shaharuddin bermula di garaj kereta

USAHA, ikhtiar dan tawakal kepada Allah s.w.t. menjadi kunci kejayaan bagi Shaharuddin Mahfudz untuk membina perniagaannya menerusi syarikat, Golden Wood Industries yang menawarkan produk kelengkapan rumah dan landskap berasaskan kayu. Anak jati kelahiran Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor berusia 32 tahun ini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di garaj kereta rumah ibu bapanya selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat logistik di Shah Alam kira-kira lima tahun lalu. Berkat doa dan sabar menempuhi segala cabaran, akhirnya impian untuk memiliki bengkel sendiri terlaksana. Wartawan, ZUNAIDAH ZAINON dan jurufoto, AMIR HAFIZ berkunjung ke bengkelnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat, baru-baru ini untuk berkongsi pahit manis rencah dalam dunia perniagaan. Apakah yang menjadi pendorong untuk anda melibatkan diri dalam perniagaan? SHAHARUDDIN: Setelah mendapati syarikat tempat saya bekerja dilanda masalah, ramai pekerja mengambil keputusan untuk berhenti termasuklah saya yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Eksekutif Operasi. Buat sementara waktu, saya melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah menjual ikan dan barang-barang runcit. Selepas itu, saya mula buat sikit-sikit kerja pertukangan kayu di garaj kereta rumah keluarga. Secara dasarnya, minat untuk berniaga timbul apabila saya berhenti kerja daripada syarikat tersebut. Itulah titik permulaan yang menyuntik semangat saya untuk terus berjaya dalam perniagaan. Mengambil keputusan memilih perniagaan berasaskan kayu, adakah disebabkan minat atau memang mempunyai kemahiran dalam kerja pertukangan? Terus terang, saya tidak pernah mendalami sebarang kemahiran membuat perabot kayu daripada mana-mana institusi. Saya belajar daripada kawan-kawan yang banyak membantu. Minat sudah ada cuma yang diperlukan ialah modal dan kemahiran mengendalikan perniagaan. Seperti yang diketahui, tidak ramai usahawan bumiputera yang menceburi perniagaan sebegini. Adakah ia berisiko? Apabila saya mengambil keputusan untuk membesarkan perniagaan ini daripada hanya beroperasi di sebuah garaj kereta dan meminjam modal daripada keluarga dan kawan-kawan, tetapi jika tiada permintaan daripada kilang, saya akan mengalami kerugian yang bukan sedikit nilainya. Ini kerana setiap bulan, saya memerlukan modal pusingan sebanyak RM40,000 hingga RM50,000. Sekiranya, tiada permintaan, saya terpaksa menanggung kerugian yang besar. Bagaimana dengan risiko persaingan dengan syarikat yang telah lama bertapak dalam bisnes ini? Persaingan memang sudah menjadi asam garam dalam perniagaan tidak kira apa juga cabang yang kita pilih. Selalunya, usahawan bumiputera yang terlibat dalam bisnes ini tidak ramai terutama yang membuat palet untuk dibekalkan ke kilang-kilang. Kemudian, mereka terpaksa pula bersaing dengan syarikat bukan bumiputera yang telah lama terlibat dalam industri ini. Sebagai usahawan, saya perlu berlawan dengan syarikat lain untuk dapatkan kayu dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Selain itu, sebagai syarikat baru juga, agak sukar untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan. Alhamdulillah, setakat ini, syarikat saya membekalkan palet ke empat buah kilang. Bagaimanapun, saya tidak menafikan, kadang-kadang perasaan rendah diri tetap ada memandangkan syarikat saya masih baru. Pada pandangan anda, bagaimana untuk menghadapi semua cabaran tersebut? Usahawan Melayu perlu mempunyai rangkaian yang kuat seperti mana yang dilakukan oleh usahawan bukan bumiputera. Mereka berjaya sebab mempunyai rangkaian perniagaan yang kuat. Di samping itu, kita juga perlu memberi perhatian dengan menawarkan servis yang baik kepada pelanggan. Komunikasi dengan pekerja juga perlu dijaga. Contohnya, hingga kini, kalau ada sebarang masalah, saya sentiasa rujuk dan berbincang dengan pekerja. Walau apa jua cabaran dan persaingan, hadapilah dengan tabah dan hati terbuka. Apakah produk yang ditawarkan oleh Golden Wood Industries? Kami menyediakan semua jenis perabot daripada kayu seperti kelengkapan dapur, rumah, pintu, aksesori landskap dan sebagainya. Kebanyakannya diperbuat daripada kayu cengal dan meranti. Harga bergantung kepada saiz dan rekaan yang diminta oleh pelanggan. Berbanding dengan perabot rumah, permintaan bagi aksesori landskap agak terhad. Selepas empat tahun, apa perancangan anda seterusnya? Saya bermula daripada peringkat bawah. Malah pernah meminjam daripada abang saya sebanyak RM1,200 untuk membuat sampel produk semasa ingin mula berniaga dari garaj kereta. Kemudian, perluaskannya dengan membuka bengkel. Perancangan saya seterusnya ialah hendak membesarkan dan mengembangkan perniagaan ini dengan memiliki kilang sendiri dalam tempoh beberapa tahun lagi. Tetapi dengan keadaan ekonomi yang agak mendatar, buat masa sekarang, syarikat bergantung kepada keadaan pelanggan dan pasaran. Apakah sumbangan anda yang paling bermakna setelah bergelar usahawan? Ternyata yang paling bermakna ialah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung ini. Kebanyakan pekerja saya adalah rakan-rakan yang mengikuti saya sejak di garaj lagi. Saya puas dapat memberi mereka peluang mencari rezeki dan meningkatkan taraf hidup di kampung sendiri serta pada masa yang sama belajar kemahiran berniaga. Dengan menjadi usahawan, saya menjadi individu yang lebih bertanggungjawab bagi memastikan perniagaan ini dapat dipertahankan seterusnya menjadi punca rezeki kepada penduduk di kampung ini. Saya mensasarkan untuk menarik lebih ramai penduduk kampung untuk bekerja di sini. Adakah sumbangan ini menepati hadis Nabi yang menyatakan bahawa 9/10 punca rezeki datangnya daripada sumber perniagaan? Saya sentiasa yakin bahawa dengan adanya usaha, ikhtiar dan tawakal, insya-Allah, berniaga akan menjadi 9/10 punca rezeki bagi umat Islam. Bahkan dengan peningkatan usahawan Muslim, ia lebih ramai golongan kurang upaya dapat dibantu melalui bayaran zakat. Secara tidak langsung, ia mampu meningkatkan taraf ekonomi orang Islam secara keseluruhannya.

petikan dari Utusan Melayu 24/10/2006